Chris Bishop
KUCHING, NOVEMBER 17: Golongan belia Sarawak digesa memohon geran bantuan belia yang disediakan kerajaan untuk tujuan memperkembangkan lagi bakat mereka.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata geran tersebut khas untuk golongan belia yang memiliki kemahiran dan kepakaran dalam pelbagai bidang.
“Pada tahun ini kerajaan memperuntukan sejumlah RM5 juta untuk membantu para belia memperkembangkan bakat mereka.
“Dan pada tahun depan, sejumlah RM4 juta lagi diperuntukan untuk tujuan yang sama menjadikan jumlah kesemuanya RM9 juta,” katanya di majlis perasmian TEDx Kenyalang 2019 di sini, hari ini.
Tambah Abdul Karim, geran tersebut boleh dipohon melalui kementerian beliau dan kelulusan akan diputuskan sebuah jawatankuasa yang telah dibentuk.
Namun kata beliau, geran tersebut bukan untuk tujuan memulakan perniagaan.
“Geran adalah untuk membantu para belia yang mempunyai kemahiran dan kepakaran seperti dalam permainan elektronik, muzik, perihal gajet dan lain-lain.
“Bantuan diberikan kepada mereka yang ingin menghadiri kursus untuk tujuan mengembangkan lagi bakat mereka dan bayaran ditanggung melalui geran ini,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan menambah penerima geran tidak dipinta untuk membayar balik bantuan tersebut. — DayakDaily