Abdul Karim: GPS tidak akan sertai BN semula

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Nov 17: Naib Presiden PBB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menolak kemungkinan GPS menyertai semula BN.

Ditemui pemberita hari ini, beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata Gabungan Parti Sarawak (GPS) selesa dengan kedudukan sekarang.


“Saya tidak melihat perkara tersebut akan berlaku, Pilihanraya Umum Ke-14 ada hikmah.

“Tanpa PRU14, kita tidak akan menubuhkan GPS dan akan kekal bersama sebuah gabungan besar BN.

“Pasa masa itu gabungan BN dibentuk 14 parti dan PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) adalah sebuah parti yang kecil. Hendak ‘berkokok’ pun tidak dapat,” katanya.

Pertanyaan diajukan pemberita setelah BN mencapai kemenangan dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, semalam.

Pada PRK itu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi.

Beliau memperoleh 25,466 undi daripada 128 peti undi untuk mengatasi lima pencabarnya.

Berhubung Pilihanraya Negeri Ke-12 (PRN12) yang akan datang, Abdul Karim yakin GPS boleh mencapai kejayaan besar.

Tambah beliau, pada PRU14 yang lepas BN Sarawak (ketika itu) tidak kalah.

“Kita mesti menjaga Sarawak dengan baik kerana isu sekarang adalah berkaitan dengan hak rakyat yang telah terhakis.

“Persoalan sekarang samada kerajaan Pakatan Harapan ada keupayaan untuk mentadbir Sarawak.

“Kalau rakyat di Semenanjung Malaysia sudah tidak dapat menerima PH, apa lagi kita di Sarawak,” tegas Abdul Karim.

Namun demikian, tambah beliau, kerajaan negeri pimpinan GPS tidak menghadapi masalah untuk bekerjasama dengan PH mahupun BN pada masa depan. — DayakDaily