Bekas pelajar Kolej Abdillah bantu sekolah di Lubok Antu

LUBOK ANTU – Sekolah Kebangsaan Skarok di sini yang terbabit dalam kebakaran blok asrama baru-baru ini menerima sumbangan berjumlah RM1,450 hasil kempen derma kilat sekumpulan bekas pelajar Kelas SPM 1989 Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah, Kuching.

Sumbangan tersebut diserahkan oleh wakil bekas pelajar berkenaan Dickie Dennis Andrew, kepada Guru Besar SK Skarok Ajan Imbang pada 12 Mei lalu.

Dua blok bangunan sekolah SK Skarok musnah dijilat api dalam kebakaran baru-baru ini dan salah satu bangunan terbabit merupakan asrama pelajar lelaki yang menempatkan 19 penghuni dari Tahun 1 sehingga 6.

Kejadian dikatakan berlaku apabila para pelajar sedang mengikuti kelas malam ketika dan tiada kecederaan dilaporkan berikutan kejadian tersebut.

Menurut Ajan, sumbangan tunai yang diberikan akan digunakan untuk kebajikan para pelajar yang kehilangan semua peralatan persekolahan dan barangan peribadi mereka dalam kebakaran itu.

Beliau berkata blok yang musnah akan dibina semula dan pelajar lelaki yang terjejas akan ditempatkan di bilik bersebelahan dengan asrama perempuan buat sementara waktu.

Dalam pada itu, Ajan juga telah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu SK Skarok.

Sekolah yang terletak kira-kira 300 kilometer dari ibu negeri Kuching itu mempunya 98 pelajar termasuk 43 yang menghuni asrama.