Bekalan elektrik empat premis disyaki jalankan aktiviti perjudian dipotong

Kakitangan SEB bersama anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching melakukan kerja-kerja pemotongan bekalan elektrik terhadap premis yang disyaki terlibat menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen di sekitar kawasan Kuching.

KUCHING, 7 Okt: Kedegilan empat premis kedai runcit dan kedai makan di sini yang dipercayai terlibat dalam kegiatan perjudian tanpa lesen berakhir apabila bekalan elektrik di premis tersebut dipotong untuk mengelakannya daripada terus menjalankan operasi terbabit.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata operasi bersepadu bersama Sarawak Energy Berhad (SEB) sekitar jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari dibuat selepas premis tersebut didapati menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen.

“Kerja-kerja pemotongan bekalan di premis-premin ini dilaksanakan mengikut seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953, polis boleh membuat permintaan untuk pemotongan elektrik jika mempunyai alasan yang munasabah bahawa premis itu menjalankan sebarang aktiviti perjudian,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.


Katanya, menerusi akta tersebut, polis boleh membuat permintaan untuk melaksanakan pemotongan bekalan elektrik jika mempunyai alasan munasabah bahawa premis itu menjalankan sebarang aktiviti perjudian.

Dalam perkembangan lain, Awang Din berkata, tiga serbuan berasingan terhadap premis yang disyaki terlibat dengan kegiatan judi di sekitar Kuching berjaya dilakukan dalam tempoh tiga hari sejak 4 Oktober sehingga semalam.

Katanya, beberapa suspek yang ditahan ketika serbuan terbabit turut ditahan reman dan kes masih dalam siasatan pihak polis.

“Siasatan kes ini dijalankan dibawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang mana memperuntukan denda RM5,000 hingga RM50,000 dan hukuman penjara hingga 3 tahun jika sabit kesalahan,” katanya.

Awang Din dalam pada itu turut memberi amaran keras kepada pengusaha berkaitan supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti perjudian tanpa lesen.

Pihak polis kata beliau akan mengambil tindakan sepertimana yang diperuntukan dalam Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan melaksanakan tindakan Akta Pencegahan Jenayah 1959 ke atas mereka yang terlibat. –DayakDaily