Tindakan tegas terhadap pengusaha stesen jual minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan pendaftaran asing

A vehicle getting refueled at a petrol station. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 3 April: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memandang serius isu kenderaan dengan plat nombor negara sempadan yang dikatakan mengisi minyak petrol bersubsidi di sebuah stesen minyak di dalam negara.

Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP telah diarahkan untuk menjalankan siasatan dengan serta merta.

“Saya juga telah mengarahkan pemantauan yang lebih agresif dijalankan di semua stesen minyak, terutama yang berdekatan dengan negeri bersempadan.


“Ini bagi mengelakkan ketirisan penjualan minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan aduan yang tular, kenderaan yang mempunyai plat nombor pendaftaran Singapura dikatakan mengisi minyak petrol menggunakan nozel berwarna kuning yang disyaki minyak Petrol RON 95 yang merupakan minyak bersubsidi.

Menurut Nanta lagi, kementerian dari semasa ke semasa telah mengeluarkan arahan kepada semua syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak yang bersempadan dengan Singapura.

Katanya, ini bagi memastikan pematuhan larangan penjualan Petrol RON 95 kepada semua kenderaan termasuklah motosikal yang bernombor pendaftaran asing.

“Kementerian juga telah mengarahkan semua KPDNHEP Negeri yang bersempadan dengan Singapura dan Thailand supaya mempergiatkan pemantauan dan pemeriksaan.

“Ini termasuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974),” katanya lagi. — DayakDaily