Bekalan air dan elektrik di Sarawak kini 85.4 dan 99.4 peratus – Julaihi

Abang Johari (tiga kanan) dan Julaihi (dua kiri) di Pelancaran Kempen Pencegahan Vandalisme terhadap Kemudahan Utiliti dan Komunikasi di BCCK pada 3 Julai 2024. Foto kredit: Ukas
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 3 Julai: Liputan bekalan air untuk seluruh Sarawak kini 85.4 peratus, kata Menteri Utiliti Dan Komunikasi Dato Sri Julaihi Narawi.

Manakala bekalan elektrik katanya adalah pada tahap 99.4 peratus dan capaian liputan Internet sebanyak 80.9 peratus.

Advertisement

“Kementerian berperanan dalam menyediakan kemudahan utiliti dan perkhidmatan telekomunikasi yang berkualiti dan mampan.

“Ini bertepatan dengan visi Kementerian bagi mencapai liputan penuh bekalan air, bekalan elektrik dan perkhidmatan telekomunikasi menjelang tahun 2030,” kata Julaihi.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan di Majlis Pelancaran Kempen Pencegahan Vandalisme terhadap Kemudahan Utiliti dan Komunikasi di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), hari ini.

Pelancaran telah disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Tambah Julaihi, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan dana yang besar dalam menyediakan perkhidmatan utiliti dan telekomunikasi yang dilaksanakan oleh agensi pelaksana.

Katanya, ia bertujuan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat di Sarawak.

“Semenjak 2019, sebanyak RM10.4 billion telah diperuntukan oleh kerajaan Sarawak untuk memperluaskan serta meningkatkan kemudahan utiliti air dan elektrik serta perkhidmatan telekomunikasi.

“Ini melibatkan sebanyak hampir 400 projek bekalan air, 214 projek bekalan elektrik dan 600 menara telekomunikasi,” kata Julaihi. — DayakDaily

Advertisement