Bazar Ramadan Kapit meriah, bukti perpaduan, keharmonian kaum — Nanta

Nanta melawat gerai menjual pelbagai makanan di Bazar Ramadan Kapit.

KUCHING, 25 Mac: Bazar Ramadan Kapit lambang perpaduan masyarakat di Kapit dan Sarawak amnya, kata Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Kata Nanta yang juga MP Kapit, suasana bazar ramadan ini selalu meriah dikunjungi masyarakat pelbagai kaum yang turut sama membeli juadah.

“Beginilah Sarawak yang kami sayangi sejak dulu hingga kini, sentiasa harmoni,” katanya yang turut meluangkan masa beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung bazar pada semalam.


Terdahulu Nanta berada di bazar berkenaan untuk menghadiri Jerayawara Bubur Lambuk Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) di bazar berkenaan yang turut diadakan di 61 lokasi lain di Kapit.

Di program berkenaan, Nanta telah menyampaikan sijil penghargaan kepada para peniaga bazar Ramadan Kapit selain menyerahkan sumbangan berupa beras dan barang keperluan dapur kepada penduduk sekitar Kapit yang memerlukan.

Beliau turut mengedarkan 200 bubur lambuk yang dimasak secara gotong royong oleh SABERKAS Pelagus, kepada peniaga dan pengunjung di bazar ramadan ini sebelum menyertai buka puasa bersama-sama penduduk di sini. — DayakDaily