Bayi lelaki disyaki didera pengasuh disahkan meninggal dunia

PDRM logo.

Oleh Dean Adam

SIBU, Jan 12: Seorang bayi lelaki yang disyaki didera oleh seorang pengasuhnya pada Isnin lepas telah meninggal dunia hari ini.

Bayi berusia kira-kira sembilan bulan itu disahkan meninggal dunia oleh doktor dari Hospital Sibu akibat mati otak.


Jurucakap polis berkata bayi malang berkenaan menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 9.10 pagi.

“Suspek, iaitu seorang wanita berusia 39 tahun, masih ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

DayakDaily sebelum ini melaporkan seorang pengasuh wanita yang disyaki mendera dua bayi diberkas polis di sebuah rumah di Jalan Permai di sini.

Suspek diberkas susulan laporan polis yang diterima oleh ibu bapa kepada mangsa petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit, berkata berdasarkan laporan diterima, suspek disyaki mendera dua bayi masing-masing berusia sembilan bulan dan satu tahun enam bulan.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan doktor, kedua-dua bayi itu mengalami pendarahan dan kembang pada bahagian dalam otak.

“Tidak cukup itu, bayi berkenaan juga mengalami kecederaan pada kedua-dua mata serta keretakan tulang di bahagian kepala,” katanya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan mendera kanak-kanak. — DayakDaily