KUCHING, 11 Sept: Seorang bayi lelaki ditemui di tepi jalan raya di Batu 9 di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Brodie Brangka berkata bayi tersebut dijumpai oleh seorang wanita yang melalui jalan raya tersebut.
Katanya, wanita terbabit kemudian segera menghantar bayi lelaki itu ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Hasil siasatan mendapati pegawai perubatan yang memeriksa bayi tersebut mengesahkan bayi dalam keadaan sihat dan berumur kira-kita tiga hari,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, laporan berhuhung penemuan bayi tersebut dibuat pada jam 1.24 petang hari Sabtu.
“Bagaimanapun sehingga laporan ini dibuat, masih belum ada tangkapan dan kes masih dalam siasatan polis,” katanya.
Kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu ibu bapa atau orang yang bertanggungjawab menjaga kanak-kanak berusia kurang 12 tahun mendedahkan dan membuang kanak-kanak itu.
“Jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Pihak polis meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk melaporkan kepada polis bagi membantu siasatan. — DayakDaily
Advertisement