Bayi berumur 27 hari, meninggal dunia dalam nahas di Jalan Bau-Lundu

Proton Saga yang dinaiki mangsa.

BAU, 27 April: Seorang bayi perempuan berumur 27 hari disahkan meninggal dunia semasa dirawat di wad kecemasan Hospital Bau semalam.

Bayi terbabit dikejarkan ke hospital kerana mengalami kecederaan apabila kereta yang dinaikinya terlibat kemalangan di Kilometer 13 Jalan Bau-Lundu sekitar jam 1 petang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bau ASP Jugah Aleng semasa dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.


“Kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu kereta jenis Proton Saga yang datang dari arah Lundu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan.

“Ekoran itu, pemandu serta penumpang mengalami kecederaan dan seorang bayi perempuan berumur 27 hari disahkan meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Bau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily