MARUDI, 5 SEPTEMBER: Seramai 12 orang termasuk seorang bayi lelaki berusia 1 bulan terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas kediaman mereka di Tanjung Upar, Baram dinaiki air petang semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak Khirudin Drahman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan memohon bantuan pada jam 3.30 petang semalam.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Marudi terus ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba menggunakan bot penyelamat ke lokasi dengan menempus arus sungai yang deras dalam keadaan kawasan yang dilimpahi banjir.
“Pasukan bomba terus memindahkan kesemua 12 mangsa, termasuk 6 kanak-kanak dan seorang bayi ke pangkalan komersial Marudi,” katanya dalam satu kenyataan.
Kesemua mangsa kemudian dihantar menggunakan kenderaan bomba ke PPS di Dewan Suarah Baram.
“Operasi berjalan lancar dan kesemua mangsa dalam keadaan baik.
“Bagaimanapun, trend air sungai di Tanjung Upar masih menaik dan anggota kita sentiasa dalam keadaan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya. — DayakDaily