IPD Kuching: 33 tangkapan,18 operasi banteras judi online sepanjang Ogos

Gambar komposit menunjukkan operasi yang dijalankan oleh IPD Kuching sepanjang bulan Ogos.

KUCHING, 5 SEPTEMBER: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching telah membuat 18 serbuan judi dalam talian (online) dengan berjaya menangkap 33 individu termasuk 13 warga asing sepanjang bulan Ogos.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kesemua suspek terdiri daripada ejen perjudian dan juga permain judi yang ditangkap di tempat awam.

“Secara keseluruhan, seramai 20 warga tempatan iaitu 19 lelaki dan seorang wanita serta 13 warga asing (11 lelaki dan 2 wanita) ditangkap.


“Tangkapan adalah melibatkan kesalahan bermain judi online di tempat awam serta menjadi ejen tambah nilai (kiosk),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya juga, sebuah pusat operasi judi online di Jalan Lapangan Terbang turut diserbu.

Seorang suspek yang di bawah pemerhatian polis untuk siasatan.

“Siasatan polis mendapati premis tersebut telah beroperasi lebih kurang 6 bulan.

“Berdasarkan rekod dan transaksi, dipercayai jumlah keuntungan kasar bagi sindiket tersebut mencecah RM3,500 sehari dan boleh mencecah RM105,000 sebulan,” katanya.

Turut dirampas dalam semua operasi tersebut ialah beberapa komputer, telefon bimbit, peralatan yang digunakan dalam kegiatan perjudian tersebut.

Beberapa kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4(1)(g), Seksyen 7(2) dan Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Operasi ini akan diteruskan dan diperhebatkan lagi bagi membanteras perjudian haram yang merugikan ekonomi dalam aspek lesen dan cukai,” tegas Ahsmon. — DayakDaily