Bau rekod 230 kes kaitan dadah dalam lapan bulan pertama tahun ini

Henry (tiga dari kiri) menyampaikan sijil kepada peserta Bengkel Komuniti Sejahtera OSC MIDS Daerah Bau 2020.

BAU, 24 Sept: Masalah berkaitan dadah semakin meningkat di daerah Bau dengan sudah sebanyak 230 kes kaitan dadah telah dilaporkan di daerah itu tahun ini sehingga bulan lepas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep telah mendedahkan statistik tersebut yang diperolehi dari Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) dan polis.

“Sebelum ini pada 2017 tidak sampai 100 kes berkaitan dadah telah dilaporkan di Bau; sekarang (tahun ini hingga bulan lepas) sudah dilaporkan sebanyak 230 kes itu,” katanya selepas merasmikan Bengkel Komuniti Sejahtera OSC MIDS Daerah Bau 2020, di Dewan Suarah Bau, di sini, hari ini.

Henry berkata kes terbabit kebanyakan membabitkan dadah jenis syabu atau lebih dikenali sebagai “batu” dan dipercayai kesnya telah meningkat kerana kehadiran pengedar dadah yang semakin ramai di daerah itu.

“Mereka mensasarkan orang luar bandar (di Bau), kebanyakannya disasarkan mereka adalah golongan pelajar dan juga golongan miskin kerana golongan ini mudah menjadi mangsa mereka,” katanya.

Selain itu, kes terbabit juga meningkat berikutan penubuhan OSC MIDS Daerah Bau tahun lepas yang membincangkan kerjasama penduduk, badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan pihak berkuasa bagi bersama membenteras masalah dadah di daerah itu dan meningkatkan operasi penguatkuasaan.

“Banyak yang mahu kami lakukan (bagi membenteras aktiviti berkaitan dadah di Bau) tetapi kalau pintu masuk kita tidak betul-betul disekat (kemasukan bekalan dadah) maka tiada gunanya,” kata beliau.

Henry sehubungan itu mahu semua pintu masuk negeri ini samada lapangan terbang, pelabuhan dan kawasan sempadan disekat dengan sebaiknya pihak penguatkuasa bagi menghalang bekalan dadah dari luar dari terus memasuki negeri ini.

Sementara itu, mengenai cadangan penduduk daerah itu bagi memusnahkan rumah kosong yang menjadi sarang penagih dadah di daerah itu, beliau berkata itu mungkin tidak dapat dilaksanakan bagi rumah persendirian kerana perlu mendapat kebenaran pemilik rumah terlebih dahulu.

Beliau bagaimanapun menyokong cadangan bagi wajah pelaku berkaitan kes dadah di daerah Bau didedahkan oleh pihak berkuasa kepada orang ramai bagi mencegah lebih ramai penduduk daerah itu dari terbabit aktiviti dadah.

“Kalau tidak menyalahi sebarang SOP pihak berkuasa, kita meminta pelaku aktiviti dadah terbabit didedahkan wajah mereka,” katanya, dan berpendapat tiada sebab menyembunyikan wajah individu itu kerana dadah adalah masalah yang besar. — DayakDaily