SAMARAHAN, 15 Mei: Kajian secara mendalam harus dilakukan sebelum merealisasikan cadangan Batang Samarahan sebagai destinasi pelancongan melihat buaya.
Menurut Adun Muara Tuang Dato Idris Buang, kajian memerlukan masa panjang yang melibatkan pelbagai aspek.
Selain memerlukan dana serta kepakaran katanya, kajian mengambil kira pengalaman di tempat-tempat lain yang sudah melaksanakannya.
“Pelbagai cadangan telah diberi kepada Samarahan Crocodile Hunter, kita sedang mengkajinya.
“Mereka mahu kita mengenalpasti kawasan yang sesuai untuk melihat buaya.
“Kita melihat kepada contoh di Beaufort Sabah dan di Flipina tetapi ini memakan masa untuk kajian secara mendalam,” katanya.
Idris berkata demikian ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di Taman Desa Ilmu malam tadi.
Tambah beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), pihaknya juga memerlukan bimbingan daripada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan World Wide Fund for Nature Federation (WWF).
Sementara itu, Idris berkata bahawa hampir seluruh Batang Samarahan memiliki buaya dan merbahaya.
“Sejak saya menjadi Adun, sudah ada tiga orang menjadi mangsa buaya dan ini menakutkan.
“Yang terakhir adalah anggota Samarahan Crocodile Hunters sendiri. Menurut bapa mangsa, buaya seolah-olah terbang untuk menyambar mangsa,” katanya.
Dalam pada itu katanya, Samarahan Crocodile Hunters dalam tempoh 2 tahun lepas telah melakukan usaha menangkap buaya.
Kata Idris, sebanyak 20 buaya telah berjaya ditangkap dan yang paling besar adalah sepanjang 17 kaki.
Pada tahun lepas, Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya (MOTAC) melihat populasi buaya yang semakin bertambah di beberapa sungai di Samarahan berpotensi menjadi produk pelancongan.
Menterinya Dato Sri Nancy Shukri yakin pengunjung berpeluang melihat beberapa spesis buaya di Batang Samarahan. — DayakDaily