Batang paip besi ‘selamatkan’ tiga warga Brunei daripada maut

Kelihatan Kia Sportage yang dalam keadaan tersangkut pada batang paip besi.

LIMBANG, Julai 10: Tiga warga Brunei nyaris maut selepas kenderaan jenis Kia Sportage yang dinaiki mereka terbabas lalu merempuh penghadang besi di Jambatan Kampung Bakul di sini hari ini.

Lebih menyeramkan, kenderaan terbabit hampir terjatuh ke dalam gaung, namun nasib menyelebelahi mereka apabila Kia Sportage tersebut tersangkut pada batang paip di situ.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang, Mohd Ali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.45 pagi.


Jelasnya, sepasukan lapan anggota bomba kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Apabila tiba, anggota bomba mendapati Kia Sportage dalam keadaan tersangkut dan berpaut pada batang paip besi di tepi jambatan berkenaan.

“Kesemua mangsa pula berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Mohd Ali menambah, anggota bomba kemudian bertindak membuat ‘flushing’ bagi membersihkan serpihan daripada kemalangan tersebut.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati tiada kenderaan lain terlibat dalam nahas jalan raya itu.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya selepas keadaan di lokasi kejadian terkawal sepenuhnya,” ujarnya. — DayakDaily