Hasrat melancong ke Turki tidak kesampaian, rugi RM100,000 diperdaya ejen pelancongan palsu

PDRM logo

MIRI, Julai 10: Gara-gara terpedaya dengan iklan pelancongan yang ditawarkan oleh sebuah ejen pelancongan yang berpangkalan di Kuala Lumpur, sekumpulan individu mendakwa telah mengalami kerugian lebih RM100,000.

Menurut sumber, sekumpulan individu berkenaan pada mulanya telah bersetuju dengan pakej pelancongan percutian mereka ke negara Turki.

Katanya, individu tempatan itu kemudian telah berurusan dengan syarikat pelancongan berkenaan secara dalam talian sejak April hingga Julai 4 lalu.


“Sepanjang berurusan dengan syarikat berkenaan, kumpulan individu berkenaan telah melakukan pembayaran penuh kepada ejen pelancongan terbabit menerusi bayaran dalam talian.

“Bagaimanapun, hasrat mereka untuk melancong ke Turki tidak kesampaian apabila mengetahui diri mereka telah diperdaya oleh ejen pelancongan berkenaan,” katanya hari ini.

Tambah sumber, selepas menyedari mereka ditipu, kumpulan individu berkenaan telah membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan berhubung kes tersebut.

Ujarnya, sekiranya siasatan mendapati terdapat unsur jenayah penipuan, polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan selanjutnya terhadap syarikat terlibat.

“Polis perlu menyemak terlebih dahulu semua laporan yang diterima, sekiranya didapati ada unsur tipu, tindakan lanjut akan diambil,” katanya. — DayakDaily