Batalion Ke-11 PGA Briged Sarawak gagalkan cubaan seludup dadah bernilai RM1.4 juta

Dadah disyaki jenis syabu yang dirampas di sempadan Malaysia-Indonesia, Telok Melano.

LUNDU, Feb 18: Batalion Ke-11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak berjaya menggagalkan satu cubaan menyeludup masuk dadah disyaki jenis syabu seberat 25 kilogram yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1.4 juta di sempadan Malaysia-Indonesia, Telok Melano di sini, Khamis lalu.

Pegawai Memerintah Batalion Ke-11 PGA Briged Sarawak, Superintendan Mohammad Sarie Fauzi berkata, sepasukan anggota PGA yang bertugas di kawalan sempadan, Pos Ops Awas JPG Telok Melano berjaya menahan lima suspek kira-kira pukul 4.30 petang.

Katanya, kelima-lima suspek lelaki yang ditahan itu merupakan warga Indonesia berusia antara 28 hingga 56 tahun.


“Sebelum tangkapan itu, pasukan PGA yang bertugas telah mengesan lima lelaki dengan menaiki tiga buah motosikal.

“Pasukan polis kemudian menahan kelima-lima suspek dan melakukan pemeriksaan ke atas beg sandang suspeknsebelum menemui lima bungkusan menggunakan ‘aluminium foil’ yang mengandungi serbuk kristal; setiap satu bungkusan disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Sarie memberitahu, pasukan polis menahan kelima-lima suspek untuk siasatan lanjut.

Katanya, kesemua suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika sabit kesalahan, kelima-lima suspek boleh dikenakan hukuman mati,” ujarnya lagi. — DayakDaily