Barisan hadapan, warga emas dan golongan berisiko Batang Sadong terima dos vaksin Covid-19 pertama mulai esok

Dato Sri Nancy Shukri

KUCHING, 13 Jun: Pemberian dos pertama suntikan vaksin Covid-19 kepada barisan hadapan, warga emas dan yang berisiko tinggi di kawasan Parlimen Batang Sadong akan bermula esok hingga 19 Jun ini.

Menurut MP Batang Sadong Dato Sri Nancy Shukri, dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibuka di daerah Simunjan bertempat di Dewan Mesra Simunjan dan RTC Munggu Lalang, Gedong.

“Bagi penerima suntikan vaksin dari Sadong Jaya, PPV mereka adalah di Kompleks Sukan Asajaya.


“Sejumlah 3,000 dos vaksin disediakan bagi daerah Simunjan dengan sasaran 600 penerima sehari di Dewan Mesra Simunjan manakala seramai 250 penerima pula di RTC Munggu Lalang, Gedong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nancy yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menggesa masyarakat di kawasan tersebut yang telah ditentukan tarikh dan masa temujanji mereka agar hadir mengambil suntikan di PPV yang telah ditentukan.

“Jangan mudah percaya dengan dakwaan tidak benar mengenai vaksin yang digembar-gembur oleh pihak-pihak tertentu kerana vaksin yang dibeli telah diuji secara klinikal dan adalah selamat,” ujar beliau.

Beliau juga memohon semua penerima suntikan vaksin untuk mematuhi prosedur operasi ‘standard’ (SOP) yang telah ditetapkan.

Beliau menggesa orang ramai supaya guna pelitup muka sebaik keluar rumah, elak berada di tempat yang sesak dan sempit serta elak juga daripada berbual dan bersembang dalam jarak yang dekat. — DayakDaily