Bapa mati, anak selamat dalam insiden bot terbalik di Miri

Mayat mangsa dimasukkan ke dalam kenderaan polis untuk tindakan selanjutnya.

MIRI, 10 Ogos: Seorang lelaki warga emas ditemui mati, manakala anaknya selamat selepas bot fiber yang dinaiki mereka terbalik dipukul ombak di perairan Lutong hari ini.

Difahamkan mangsa yang meninggal dunia berusia 87 tahun dan anak lelakinya yang selamat berusia 56 tahun.

Pengarah Zon Maritim Miri Kapten Maritim Md Fauzi Othman berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut yang berlaku di 11 Batu Nautika Barat Daya Kuala Miri pada jam 12 tengah hari.

Jelasnya, pada jam 12.45 tengah hari, kedua-dua mangsa telah ditemui oleh pasukan penyelamat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

“[Anak] ditemui selamat, manakala bapanya telah meninggal dunia.

“Dia (anak) memberitahu kejadian berlaku secara tiba-tiba, di mana bot yang dinaiki telah dipukul angin kencang dengan ombak setinggi lebih kurang 3 meter menyebabkan bot dimasuki air dan terbalik,” kata Md Fauzi dalam satu kenyataan.

Menurutnya juga, mangsa terselamat kerana memakai jaket keselamatan.

“Manakala bapa mangsa hilang dan ditemui terapung tidak jauh dari lokasi kejadian oleh nelayan tempatan yang sedang menangkap ikan di lokasi berdekatan,” katanya.

Mangsa kemudian dibawa ke Jeti Marina Bay pada jam 1.30 petang. ā€” DayakDaily