Oleh Brad Rantayy
MIRI, 15 Okt: Tiga beranak ditahan bersama tiga laras senapang patah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Beraya Satu, Bakam, Bekenu semalam.
Bapa berusia 53 tahun, bersama dua anak lelakinya berusia 27 dan 28 tahun itu ditahan kira-kira jam 8.30 malam bagi membantu siasatan berhubung penemuan senjata api berkenaan yang dimiliki tanpa kebenaran.
Tiga laras senapang patah tersebut ditemui disembunyikan di kawasan semak berhadapan rumah suspek.
Penemuan dilakukan setelah suspek menunjukkan lokasi tempat senjata itu disembunyikan kepada polis.
Tangkapan diketuai oleh ASP Unang Giang dalam operasi dinamakan ‘Ops Laras’.
Hasil siasatan awal mendapati suspek menghasilkan senapang patah untuk dijual kepada pelanggan dengan harga RM3,000 selaras, jelas Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah.
Suspek baru sahaja berjinak-jinak menjual senapang patah yang dihasilkan sebelum ditahan pihak polis.
Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960. — DayakDaily