‘Bantuan kepada golongan kurang berkemampuan harus berterusan’

Azizul (tengah) menyerahkan bantuan kepada penerima di Kampung Terusan Jaya.

LUNDU, Mei 24: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N3 Tanjong Datu telah mengadakan majlis penyerahan sumbangan kepada golongan yang memerlukan di Kampung Terusan Jaya di sini malam tadi.

Ketua Pemuda N3 Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan telah hadir menyempurnakan majlis penyerahan bantuan berkenaan.

Azizul dalam ucapan ringkasnya berharap sumbangan tersebut mampu meringankan beban yang ditanggung oleh golongan kurang berkemampuan di kawasan tersebut.

Jelasnya, bantuan tersebut merupakan tanda ingatan kepada golongan yang kurang berkemampuan dalam mereka melakukan persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri akan datang.

“Kita prihatin dan tahu akan masalah yang dihadapi golongan kurang berkemampuan khususnya dalam bulan puasa ini.

“Pada masa sama, kita berharap syarikat-syarikat korporat juga harus tampil membantu golongan yang memerlukan ini tanpa ikut musim tertentu sahaja,” katanya dalam Program Ju Sungkei bersama Pemuda N.3 Tanjong Datu di sini malam tadi.

Usaha seperti itu harus dilaksanakan secara berterusan dan sumbangan yang dihulurkan juga menyeluruh serta tidak terbatas kepada kaum tertentu sahaja.

Sumbangan dan keprihatinan yang berterusan sepanjang tahun adalah perlu bagi memastikan keperluan golongan sasar itu dapat dipenuhi sepanjang waktu.

Dalam majlis sama, Pemuda PBB Tanjong Datu juga turut bersama-sama penduduk kampung membaca tahlil untuk Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dan solat tarawih bersama. — DayakDaily