Bantuan Kehilangan Pendapatan secara ‘one-off’ diberi mulai esok

Dato Sri Ismail Sabri Yaakob

KUCHING, 25 Okt: Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) sebanyak RM500 akan diberikan secara ‘one-off’ mulai Selasa, 26 Oktober.

Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia akan memberi manfaat kepada hampir 870,000 individu yang telah hilang pendapatan pada tahun 2021.

Katanya, kesemua bantuan ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM434 juta demi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia.


“BKP diberikan kepada pekerja yang kehilangan sumber pendapatan berdasarkan data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) dalam tahun 2021.

“Semakan status kelulusan BKP boleh dibuat mulai 26 Oktober 2021 melalui Portal BKP, iaitu https://bkp.hasil.gov.my,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, penerima BKP juga boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang turut dimuat naik di portal berkenaan. — DayakDaily