By Nur Ashikin Louis
KUCHING, 31 Mei: Kerajaan bersetuju untuk memberi bantuan tunai sekali bayar sebanyak RM500 kepada kategori isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,500.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebanyak RM2.1 billion telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi melaksanakan bantuan terbabit yang akan menambah kadar program Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).
“Bagi isi rumah berpendapatan antara RM2,501 hingga RM5,000, mereka akan menerima kadar sebanyak RM300.
“Golongan bujang pula akan menerima RM100,” katanya ketika mengumumkan pakej Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Plus) dalam satu siaran langsung televisyen di TV1 tadi.
BPR tambahan ini akan mula dimasukkan ke akaun penerima pada hujung bulan Jun nanti.
Bayaran ini merupakan tambahan kepada fasa bayaran terakhir BPR bulan September kelak sebanyak RM2.4 bilion.
Program Pemerkasa Plus bernilai RM40 billion merupakan suntikan bantuan kerajaan untuk mempertingkatkan kapasiti kesihatan awam, meneruskan agenda prihatin rakyat, dan menyokong kelangsungan perniagaan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat atau ‘total lockdown’ bermula 1 Jun hingga 14 Jun 2021. — DayakDaily
Advertisement