Bank Rakyat perkukuh komitmen sebagai bank koperasi menerusi visi dan misi baharu

Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Advertisement

KUCHING, 30 Dis: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini melancarkan visi dan misi baharu Bank Rakyat di Kuala Lumpur.

Visi terbaharu Bank Rakyat kini ialah ‘Bank Koperasi Islam Progresif No.1 di Malaysia’, manakala misi terbaharunya ialah ‘Memacu kemakmuran ekonomi anggota, pelanggan dan negara bangsa’.

Menurut Wan Junaidi, visi baharu ini adalah bertepatan dengan Bank Rakyat yang telah berkembang menjadi sebuah institusi kewangan yang
disegani di Malaysia.

Advertisement

Katanya, ia kekal sebagai ‘Bank Pilihan Anda’ selama 66 tahun melalui keupayaannya melahirkan legasi yang tiada tandingan.

“Saya turut berpendapat bahawa misi baharu ini adalah yang terbaik dan bersesuaian dengan mandat Bank Rakyat dalam meningkatkan kesejahteraan ekonomi anggota dan pelanggannya.

“Ini menyediakan solusi perbankan yang efektif dalam memberi nilai tambah dan impak positif kepada komuniti serta pihak berkepentingan bank,” ujar beliau.

Jelas Wan Junaidi lagi, misi dan visi baharu ini merupakan salah satu inisiatif jangka panjang Bank Rakyat.

Ia bagi mengukuhkan kedudukan agar kekal relevan dengan keperluan semasa yang menuntut setiap organisasi menjadi lebih inovatif dan
dinamik untuk maju ke hadapan.

“Inisiatif ini sejajar dengan aspirasi kementerian untuk menghidupkan semula sektor koperasi dan keusahawanan melalui spektrum pendigitalan, inovasi dan teknologi, yang mana amat penting bagi membantu sektor pulih dalam persekitaran pandemik Covid-19,” katanya.

Pada majlis yang sama, Wan Junaidi turut mengumumkan pelantikan Datuk Abdul Rani Lebai Jaafar secara rasmi sebagai Pengerusi Bank Rakyat selama dua tahun berkuatkuasa 1 Januari 2021. — DayakDaily

Advertisement