PRK Gerik, Bugaya ditangguh selepas Agong isytihar darurat

Signature. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUALA LUMPUR, 16 Dis: Dua pilihan raya kecil (PRK) iaitu PRK Parlimen Gerik dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya yang dijadualkan pada 16 Januari tahun hadapan dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan penangguhan dan pembatalan PRK itu dibuat selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah berkenan untuk mengisytiharkan darurat bagi kedua-dua kawasan terbabit.

“Seri Paduka Baginda telah berkenan untuk mengisytiharkan darurat bagi kedua-dua PRK tersebut setelah Seri Paduka Baginda berpuas hati bahawa adanya keperluan Pengistyharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Pelembagaan Persekutuan bagi memasyurkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(No.2) 2020, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(No.3) 2020 dibawah Fasal (2B) ) Perkara 150 Pelembagaan Persekutuan.


“Ini membolehkan PRK bagi kedua kawasan tersebut iaitu kawasan Parlimen Gerik, Perak dan DUN Bugaya, Sabah yang dijadual berlangsung pada 16 Januari 2021 dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh yang ditentukan kelak,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Muhyiddin, dalam menyembah nasihat kepada Seri Paduka Baginda, Jemaah Menteri telah membincangkan secara terperinci kesan kedua-dua PRK terbabit jika ia dilaksanakan pada ketika pandemik Covid-19 sedang menular.

Menurut beliau, Jemaah Menteri berpandangan kedua-dua PRK tersebut sesuatu yang perlu dielakkan atas faktor ancaman kepada kesihatan awam, keadaan kehidupan ekonomi dan ancaman ketenteraman awam.

“Saya bagi pihak Jemaah Menteri menjunjung setinggi-tinggi terima kasih kepada ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas perkenan Seri Paduka Baginda untuk mengisytiharkan darurat bagi kedua-dua bahagian pilihan raya berkenaan.”

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Gerik, Perak dan DUN Bugaya, Sabah diadakan secara serentak, pada 16 Januari 2021.

Kedua-dua kerusi itu kosong susulan kematian penyandangnya, Ahli Parlimen Gerik, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman (Barisan Nasional) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Allahyarhamah Datin Manis Muka Mohd Darah dari Parti Warisan Sabah (Warisan).

Hasbullah yang meninggal dunia akibat sakit jantung di Raub, Pahang, pada 16 November lalu memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan majoriti undi sebanyak 5,528.

Manakala, Manis Muka, 65, meninggal dunia akibat masalah buah pinggang di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu, pada 17 November lalu selepas mempertahankan kerusi DUN Bugaya itu pada Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN), pada 26 Oktober lepas dengan majoriti 6,005 undi, mengatasi enam pencabarnya.

Terdahulu, kawasan Parlimen Batu Sapi yang turut berdepan dengan PRK turut dikenakan perintah darurat. — DayakDaily