Banjir: Seramai 1,191 murid di Sarawak terjejas, lima sekolah ditutup

Keadaan banjir di SK Kuala Bok, Tinjar, Baram.

KUCHING, Jan 15: Seramai 1,191 murid di 13 buah sekolah di Sarawak terjejas akibat banjir hari ini ekoran hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari lalu.

Seorang jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berkata, berdasarkan maklumat yang diterima Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), lima buah sekolah telah diarahkan ditutup dan tidak beroperasi setakat pukul 12 tengah hari ini.

Jelasnya, antara sekolah yang ditutup ialah Sekolah Kebangsaan (SK) SK Sungai Bong di Baram, SK Kuala Bok (Baram), SK Nanga Bon (Sibu), SK Kuala Kenyana (Mukah) dan SK Rumah Ranggong di Subis.


“Namun, terdapat lapan buah sekolah lain yang terjejas banjir, namun masih dibenarkan beroperasi kerana keadaan semakin terkawal,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Keadaan banjir di SK Kuala Bok, Tinjar, Baram.

Jurucakap sama menambah, lapan sekolah yang terjejas itu ialah SK Sungai Manong (Subis), SK Sungai Kelabit (Miri), SK Sungai Seputi (Miri), SK Pengarah Enteri (Baram), SK Sungai Peking (Baram), SK Sungai Anak (Selangau), SK Sungai Buah (Selangau) dan SK Iban Union di Selangau.

Katanya, situasi tersebut juga telah menyebabkan seramai 186 guru dan 89 staf sokongan di semua sekolah terbabit terjejas.

“Kita akan memantau situasi banjir di semua sekolah terjejas dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Sementara itu, jurucakap sama berkata, sebuah pusat pemindahan banjir yang dibuka di Dewan Kampung Lutong, Sebangan di Sebuyau pada Sabtu lalu sudah ditutup sepenuhnya hari ini.

“Semua mangsa banjir sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas situasi kembali pulih sepenuhnya,” ujarnya lagi. — DayakDaily