Sarawak boleh memegang ekuiti 10 peratus dalam Petronas LNG 9 Sdn Bhd

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (dua dari kanan) dan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing (kanan) menyaksikan wakil kerajaan negeri dan Petronas bertukar dokumen penyata terma selepas menandatanganinya di Wisma Bapa Malaysia.

KUCHING, Jan 15: Kerajaan negeri telah menandatangani dokumen penyata terma dengan Petronas yang akan membolehkan negeri ini mendapat pegangan ekuiti sebanyak 10 peratus dalam Petronas LNG 9 Sdn Bhd, di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyaksikan majlis menandatangi dokumen penyata terma terbabit bersama Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Dato Sri Wong Soon Koh, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani serta presiden dan ketua
pegawai eksekutif (CEO) Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Petronas LNG 9 Sdn Bhd adalah syarikat pemilik ‘train’ pengeluaran gas asli cecair (LNG) ke sembilan (Train 9) di Bintulu dengan dokumen itu ditandatangani Setiausaha Kewangan Negeri Dato Sri Ahmad Tarmizi Sulaiman mewakili kerajaan negeri manakala naib presiden kanan strategi koperat Petronas, Ir M. Firouz Asnan mewakili Petronas.

Ketika ini Train 9 mempunyai kapasiti pengeluaran LNG sebanyak 3.6 juta tan setahun dan telah mula beroperasi sejak Januari 2017 bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran Kompleks LNG Petronas kepada 30 juta tan setahun.

Di majlis yang sama, satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani bagi kerjasama logistik antara Petronas Chemicals Marketing Labuan (PCML) Ltd dengan syarikat perkapalan negeri ini, Hubline Berhad.

MoU selama lima tahun itu ditandangangani Hubline Berhad diwakili pengerusinya Ibrahim Baki dan naib pengerusinya, Dato Richard Wee manakala PCML Ltd diwakili CEOnya Shamsairi M Ibrahim dan ketua pembekalan dan pengedarannya, Normah Basri.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (tengah) mengadakan sidang media selepas majlis
menandatangi dokumen penyata terma dan MoU dengan Petronas di Wisma Bapa Malaysia.

Semantara itu Abang Johari berkata kerajaan negeri berterima kasih kepada Petronas kerana membolehkan negeri ini menyertai Petronas LNG 9 Sdn Bhd dengan mendapatkan pegangan ekuitinya dan telah mengambil kira minat negeri ini menyertai aktiviti hiliran industri minyak dan gas tempatan.

“Kita sudah ada penyertaan dalam LNG 1, LNG 2 dan LNG 3; sekarang kita akan mendapatkan ekuiti bagi LNG 9 dan ini pasti akan menambahbaik hubungan koperat antara Petronas dan negeri ini…bagi LNG 9, Sarawak akan mendapatkan (ekuiti) sebanyak 10 peratus,” katanya.

Disamping itu, beliau mengalukan syarikat perkapalan negeri ini, Hubline Bhd menandatangani MoU dengan Petronas bagi membolehkan syarikat terbabit menyertai aktiviti pengangkutan produk hiliran pukal kering ke pasaran dan memperluaskan lagi penyertaan negeri ini dalam industri minyak dan gas tempatan.

Hubline Berhad ketika ini mempunyai 25 set kapal tunda dan tongkang dan sudah 20 tahun menyediakan perkhidmatan pasaran pengangkutan pukal kering bagi rantau Asia Tenggara dengan laluannya meliputi pelabuhan di Indonesia, Vietnam, Thailand, Singapura dan Filipina serta menghantar kargo termasuklah arang batu, gypsum aggregates, pasir, serpihan kayu dan besi sekerap bagi rantau tersebut. — DayakDaily