Petronas menghulurkan RM2 juta untuk 224 pertubuhan, NGO tempatan

Datuk Seri Fatimah Abdullah (duduk dua dari kanan) berbincang mengenai program Hari Terbuka KWKPK 2018 dengan ahli jawatankuasa penganjur sebelum mengadakan sidang media mengenai program tersebut.

KUCHING, Jan 15: Petronas bakal menyerahkan geran tanggungjawab sosial koperat (CSR) berjumlah RM2 juta kepada kerajaan negeri bagi diagihkan kepada 224 pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan pada perasmian program Hari Terbuka Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) 2018 di Tebingan Kuching, di sini, pada Feb 3 depan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata demikian dengan geran terbabit akan terlebih dahulu diserahkan wakil Petronas kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang dijemput bagi merasmikan program terbabit.

“Geran dari Petronas terbabit yang sebanyak RM2 juta kemudian akan diberikan kerajaan negeri kepada sebanyak 224 pertubuhan dan badan bukan kerajaan tempatan dari seluruh negeri ini,” katanya ketika mengadakan sidang media mengenai program Hari Terbuka KWKPK 2018 di Bangunan Baitul Makmur (MASJA), Petra Jaya, di sini, hari ini.


Fatimah berkata pada majlis perasmian program Hari Terbuka KWKPK 2018, hanya sebanyak 12 pertubuhan dan NGO akan dijemput bagi menerima geran itu sebagai simbolik penerimaanya berikutan kebanyakan 200 pertubuhan dan NGO yang lain terletak jauh dari bandaraya Kuching.

“Bagaimanapun lebih 200 pertubuhan dan NGO yang lain itu akan menerima cek geran terbabit selepas program ini; ini berikutan pengeluaran cek geran terbabit akan memerlukan masa, tetapi dijangkakan semua akan mendapat menerima cek pembahagian geran itu pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata 224 pertubuhan dan NGO yang menerima geran Petronas itu adalah yang berperanan menjalankan aktiviti komuniti secara sukarela di negeri ini dan memerlukan sumber kewangan bagi meneruskan aktiviti mereka serta pihaknya amat berharap Petronas akan dapat meneruskan pemberian geran tersebut setiap tahun.

Disamping itu, Fatimah juga mengalukan orang ramai menghadiri program Hari Terbuka KWKPK 2018 dari 7 pagi sehingga 10 malam pada Feb 3 dan 4 depan yang akan bertema “Meniti Kesejahteraan Bersama” dengan sebanyak 41 gerai jabatan dan agensi kerajaan termasuk yang dibawah KWKPK.

Ini termasuk orang ramai yang memerlukan bantuan kebajikan dan khidmat sistem sokongan, khidmat nasihat dan semakan dokumen sijil lahir dan kad pengenalan, khidmat nasihat pengangkatan anak, pendaftaran e-kasih, kahwin adat, kahwin express dan program 1 Azam dan sebagainya.

“Malahan konsulat China dan Indonesia juga akan membuka gerai semasa program ini dan boleh memberi khidmat nasihat kepada mereka yang mahu berkahwin dengan warga asing supaya perkahwinan teratur dan membolehkan anak mendapat taraf kewarganegaraan dan boleh bersekolah di negeri ini,” katanya. — DayakDaily