Banjir di Kpg Seduan Sibu, dua keluarga enggan dipindahkan

Keadaan di salah satu rumah yang dinaiki air.
SIBU, 12 Jan: Kampung Seduan di sini dilanda banjir menyebabkan tiga buah rumah sudah dinaiki air susulan hujan lebat sejak malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya telah menjalankan pemantauan dan ketiga-tiga keluarga yang menghuni rumah terjejas diarahkan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Bagaimanapun, dua keluarga terbabit enggan berpindah, manakala satu keluarga sedia untuk berpindah.
“Komander operasi lapor penilaian di lokasi mendapati sebahagian kawasan dinaiki air pada anggaran dua kaki setengah dan sebanyak tiga rumah dimasuki air setinggi satu kaki hingga dua kaki.
“Hasil maklumat diperolehi, penghuni di dua buah rumah yang terjejas menolak dan bertegas enggan berpindah, manakala satu lagi sedia berpindah,” katanya.
Keadaan di salah satu rumah yang dinaiki air.
Katanya lagi, mangsa yang enggan berpindah terdiri daripada 10 orang, termasuk dua kanak-kanak di rumah pertama.
“Rumah kedua yang enggan berpindah, terdiri daripada empat orang, termasuk dua kanak-kanak.
“Keluarga yang sedia berpindah terdiri daripada 10 orang, termasuk dua kanak-kanak dan seorang bayi,” tambahnya.
Jelasnya, proses pembukaan PPS sedang diusahakan di Dewan Kampung Jeriah.
Anggota yang turut sama dalam operasi pemantauan banjir dan pemindahan mangsa ialah anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah diketuai Pegawai Bomba Kanan Shairulnizam Wailie. — Dayakdaily