Bangunan Majlis Daerah Gedong dibina — Abang Johari

Abang Johari (duduk lima kanan) merakamkan kenangan bersama Ahli-Ahli Majlis Daerah Gedong.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 4 Mac: Bangunan Majlis Daerah Gedong bakal dibina dalam masa terdekat, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya, perancangan tersebut telah dibincangkan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar.


“Bermakna kita ada pejabat dan dapat melaksanakan mesyuarat.

“Kita akan ada banyak jawatankuasa kecil untuk mentadbir seluruh daerah Gedong,” kata Abang Johari di Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Daerah Gedong hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 31 orang telah dilantik sebagai Ahli-Ahli Majlis yang pertama bagi Majlis Daerah Gedong.

Pelantikan berkuatkuasa mulai dari 1 Januari 2024 hingga 31 Mac 2025.

Sementara itu Abang Johari menggesa Ahli-Ahli Majlis Daerah memanfaatkan sepenuhnya aplikasi ‘group chat’ bagi mencari penyelesaian terbaik bagi setiap perkara.

Menurut beliau, ia adalah sebahagian daripada konsep pembangunan daerah pintar yang digunapakai pada masa ini.

“Kaedah pembangunan pada masa ini hendaklah mengikut era baru, tidak macam dahulu.

“Bermakna menggunakan teknologi baharu, seperti konsep daerah pintar, umpamanya bagi ahli-ahli majlis hari ini akan ada aplikasi group chat.

“Sebarang maklumat boleh dikongsi antara 31 ahli termasuk pengerusi,” katanya.

Tambah Abang Johari, perkongsian maklumat di group chat membolehkan masalah diselesaikan dengan baik serta pantas.

“Misalnya, kalau ada parit yang sumbat boleh dikongsikan dalam group chat supaya kita boleh cari penyelesaiaan.

“Ini sangat penting, ini cara kita selesaikan masalah dengan pantas di kampung dan daerah,” kata Abang Johari. — DayakDaily