Bangunan bilik guru SMK Medamit terbakar

Oleh Dean Adam

LIMBANG, Nov 9: Sebuah bangunan bilik guru di SMK Medamit di sini musnah dalam satu insiden kebakaran tengah malam tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 12.26 tengah malam itu, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang Tawang Lingem berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 12.28 tengah malam.

Katanya, sejurus itu sepasukan anggota bomba bersama jentera pemadam telah bergegas ke tempat kejadian.

Kelihatan api sedang marak membakar bilik guru SMK Medamit.
Anggota bomba berusaha memadam kebakaran.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar tingkat dua bangunan bilik guru di sekolah berkenaan. Pasukan bomba kemudian bertindak membuat pemadaman kebakaran bagi memastikan api tidak merebak ke kawasan lain,” katanya di sini hari ini.

Tawang menambah, pihaknya menggunakan teknik ‘Receo’ dalam operasi memadam kebakaran itu.

“Buat masa ini, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian berkenaan,” katanya. — DayakDaily