KPDNHEP diminta segera atasi masalah kekurangan bekalan petrol di Kapit


KUCHING, Nov 9: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diminta dengan segera menyelesaikan masalah kekurangan bekalan minyak petrol yang semakin kerap berlaku di pekan Kapit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus Wilson Nyabong Ijang, yang membuat permintaan terbabit, menyeru kementerian untuk mengambil serius masalah berkenaan yang semakin mengecewakan pemilik kenderaan.

”Saya menyeru KDPNHEP, kementerian yang bertanggungjawab terhadap perkara ini, untuk melihat isu ini dengan serius dan segera,” katanya ketika sesi debat Belanjawan 2019 di persidangan DUN di sini, semalam (Nov 8).


Nyabong berkata masalah terbabit berterusan kerana hanya ada dua stesen minyak di pekan Kapit yang sudah tidak mencukupi bagi membekalkan petrol kepada pemilik kenderaan yang sudah bertambah ramai.

Selain bekalan petrol, beliau juga meminta kerajaan memberikan peruntukan membina jalan baru di Kapit. Antaranya meneruskan pembinaan jalan dari Sangan-Anap-Nanga Merit-Ng Tulie Kapit, jalan dari Rh Tang Nanga Sungai Dap melimpasi tujuh rumah panjang, dan SK Nanga Sama hingga Rh Ngelai di Ng Danau, Merit Batang Rajang, yang sekitar 20 kilometer.

Disamping itu, beliau juga memohon kerja menaiktaraf jalan balak dari Jalan Batu Arang ke Rh Sekudan, Sg Pelagus, dan dari Jalan Batu Arang ke Rh Mojo, Sg Iran, Pelagus, serta dari jalan balak utama ke Rh Jugah, Rh Sanggau dan Rh Johnny Nyengat di Ulu Sut. — DayakDaily