Bahas Pindaan RUU Tafsiran 2022, Fazzrudin tegur Chong

Fazzrudin Abdul Rahman

KUCHING, 15 Feb: Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Fazzrudin Abdul Rahman menegur Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padungan Chong Chieng Jen yang disifatkannya mengeluarkan kenyataan diskriminasi kaum pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.

Fazzrudin yang juga Adun Tupong berkata, perbahasan Chong disifatkan menuduh Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Tafsiran 2022 menjurus kepada diskriminasi kaum.

“Ini amat bahaya kerana kita di Dewan yang mulia ini harus mengelak dari membuat kenyataan atau tuduhan sedemikian, khususnya di Sarawak yang ada pelbagai kaum.


“Jadi saya amat kecewa dengan YB Padungan yang telah membawa perkara ini di dalam Dewan yang mulia ini,” katanya.

Tambah Fazzrudin, isu kaum, adat dan agama adalah perkara yang sensitif dan setiap ahli-ahli yang berhormat seharusnya menjadi contoh untuk membincangkannya dengan cara terbaik.

Beliau dalam pada itu mengalu-alukan usaha Chong yang juga pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak kerana telah memperjuangkan hak orang Cina di dalam Dun.

“Ini adalah kerana setiap daripada kita (wakil rakyat) hendaklah membawa apa yang dihasratkan oleh setiap kaum yang kita wakili,” kata Fazzrudin. — DayakDaily