KUCHING, 19 Feb: Cabaran baharu dalam perkara Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) melibatkan bahan kimia, biologi dan juga ergonomik yang berkait rapat dengan peralatan serta kedudukan sewaktu bekerja.
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Chong Chieng Jen berkata, kini ia bukan sahaja melibatkan aspek fizikal seperti bunyi bising dan cahaya.
“Turut membimbangkan adalah cabaran psikososial seperti ‘stress’ dan kemurungan yang semakin meningkat dalam persekitaran kerja yang berbeza ini,” katanya.
Chong berkata demikian dalam ucapan di majlis perasmian Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan kali ke-24 (COSH 2024) serta Persidangan Saintifik Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan kali ke-enam (SciCOSH 2024) di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam pada itu, Chong yakin pelbagai topik yang dibentangkan oleh pemimpin industri dan pakar-pakar KKP sepanjang program dua hari ini sudah pasti memberi manfaat kepada para peserta, terutamanya majikan dan pekerja, yang komited untuk meningkatkan aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja masing-masing.
“Program COSH 2024 diadakan secara serentak dengan SciCOSH 2024 bagi memberi peluang yang lebih besar untuk mereka yang terlibat bertemu.
“Peserta berpeluang bertukar-tukar fikiran selain memberi peluang kepada agensi dan syarikat menyertai sesi “business matching” yang disediakan di ruangan khas pameran,” ujar Chong. — DayakDaily