Oleh Chris Bishop
SEPANG, 3 Nov: Francesco Bagnaia daripada Lenovo Ducati Team memenangi perlumbaan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan catatan masa 38 minit 04.563 saat(s) sebentar tadi.
Bagnaia yang merupakan juara dunia MotoGP dua kali menewaskan Jorge Martin (+3.141s) daripada pasukan Prima Pramac Racing di tempat kedua.
Dengan kemenangan itu, Bagnaia menangguhkan impian Martin untuk mencapai kejuaraan musim ini lebih awal.
Bagnaia yang memulakan perlumbaan di petak pertama memecut sejak awal dalam keadaan cuaca panas walaupun diberikan saingan sengit oleh Martin.
Perlumbaan juga dihentikan seketika susulan insiden pelanggaran melibatkan beberapa pelumba pada pusingan pertama.
Sebaik bermula, perlanggaran berlaku di selekoh kedua melibatkan pelumba Fabio Quartararo dari Monster Energy Yamaha dan dua pelumba Red Bull KTM, Brad Binder dan Jack Miller.
Bersambung perlumbaan, Martin dan Bagnaia terus bersaing sengit dengan saling bertukar kedudukan sebagai pendahulu.
Bagnaia mula menjarakan diri daripada Martin pada pusingan kelima selain diekori rapat oleh Marc Marquez di tempat ketiga.
Kedudukan itu kekal sehingga tamat perlumbaan dengan Bagnaia menjuarai GP Sepang.
Sementara itu, rakan sepasukan Bagnaia, Enea Bastianini menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga.
Gelaran Juara MotoGP 2024 akan ditentukan pada perlumbaan terakhir musim ini dengan Martin kini mendahului dengan 485 mata, manakala Bagnaia di kedudukan kedua dengan 461 mata.
Perlumbaan terkahir musim ini akan diadakan di Litar de Catalunya di Barcelona, Sepanyol pada 15 hingga 17 Nov ini. ā DayakDaily