Awang Tengah: Pengukuran tanah NCR masyarakat Bidayuh lancar, tiada masalah

Awang Tengah(empat dari kiri) menyampaikan Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 kepada salah seorang penerima. Turut kelihatan Manyin(dua dari kiri)

Oleh Chris Bishop

SIBURAN, 22 Dis: Pelaksanaan kerja-kerja pengukuran tanah adat bumiputera(NCR) masyarakat Bidayuh berjalan lancar tanpa sebarang
masalah besar.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, ia dicapai kerana mereka bersama kerajaan dan memberi kerjasama baik.


“Secara umumnya, masyarakat Bidayuh buat tuntutan yang benar-benar menjadi hak mereka.

“Ini tidak seperti yang berlaku di sesetengah masyarakat yang seolah-olah dari kedudukan matahari terbit hingga ke matahari terbenam
itu dia yang punya.

“Kalau begitu lebih baik tuntut sahaja seluruh tanah Negeri Sarawak, tetapi macam mana dengan kaum lain,’ ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Warta Rizab Komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 dan Surat Hakmilik Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Bahagian Serian di Kampung Sinjok di sini hari ini.

Awang Tengah turut memuji inisiatif yang telah dilakukan Pertubuhan Kebangsaan Dayak Bidayuh(DBNA) menerusi dokumentasi tanah yang
membantu mempercepatkan proses pengukuran perimeter dan lot individu.

“Inilah kelebihan masyarakat Bidayuh dan kita mahu ianya berterusan untuk membangunkan masa depan kita,’ kata beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II.

Ujar beliau lagi program pengukuran tanah NCR inisiatif baharu yang diperkenalkan pada 2010 sangat efisien dan dilaksanakan secara dua peringkat iaitu peringkat pertama, pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri sebagai Rizab Komunal Bumiputera dan peringkat kedua melibatkan pengukuran secara lot individu dan pengeluaran surat hakmilik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.

“Kerja-kerja pengukuran ini adalah berdasarkan permohonan tanah NCR yang diluluskan dan sesi dialog diadakan dengan penuntut-penuntut tanah NCR yang berkaitan sebelum aktiviti pengukuran bermula.

“Namun, pengukuran hanya akan dijalankan setelah mendapat persetujuan dan sokongan penuntut tanah yang terlibat.

“Jika mereka tidak mahu tanah mereka diukur perimeter, kerja pengukuran tidak akan dilaksanakan,’ ujar Awang Tengah.

Dari tahun 2010 hingga kini ini Jabatan Tanah dan Survei Sarawak telah pun berjaya menyukat secara perimeter seluas lebih kurang 965,285 hektar bersamaan 2.385 juta ekar. Daripada jumlah tersebut seluas 753,456 hektar atau 1.8 juta ekar telah pun diwartakan.

“Bayangkan betapa jauh perbezaan output penyukatan melalui Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu berbanding program penyukatan lama 1960-2010 yang hanya seluas lebih kurang 260,000 hektar,’ jelas beliau.

Pada majlis tersebut, Awang Tengah telah menyampaikan Warta Rizab Komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri bagi kawasan Kampung Rayang, Serian seluas 910 hektar.

Seramai 419 penerima dari kawasan Kampung Mundai, Kampung Keromboi, Kampung Patung dan Kampung Menjau pula menerima Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Seri Michael Manyin serta Menteri Muda Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Roland Sagah.- DayakDaily.