Abun: Tiada kemelut dalam PKR Sarawak

Abun Sui Anyit

KUCHING, 22 Dis: Parti Keadilan Rakyat(PKR) Sarawak menyangkal sekeras-kerasnya bahawa parti kini berada dalam kemelut berikutan
perletakan jawatan MP Julau Larry Sng sebagai pengerusi.

Ketua Penerangannya Abun Sui Anyit berkata perkara tersebut telah disalah erti oleh pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu(PBB) Datuk Idris Buang.

“PKR Sarawak menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan tidak berasas ini baik di peringkat nasional mahupun di peringkat negeri.

“Idris suka menangguk di air keruh. Berkias melindungi kelemahan urus tadbir dan rasuah dalam Gabungan Parti Sarawak(GPS) dan Perikatan Nasional(PN),’ katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Tambah Abun, parti mengambil maklum berhubung hasrat Larry untuk melepaskan jawatan Pengerusi dan seterusnya PKR Sarawak bakal diketuai oleh ahli dari kalangan etnik Dayak.

Katanya, kenyataan Facebook milik peribadi Larry adalah hasrat peribadi beliau untuk memberi laluan kepada pemimpin lain.

Walau bagaimanapun jelas Abun, hasrat ini akan dibincangkan oleh PKR Sarawak dalam masa terdekat dan yakin ia dapat ditangani dengan baik.

Larry pada catatan Facebook menulis, presiden atau pengerusi parti dari PBB, Parti Demokratik Progresif (PDP), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bumi Kenyalang, Amanah adalah sama ada orang Melayu dan Cina, meskipun parti mereka kebanyakan disokong oleh Dayak. – DayakDaily