Awang Tengah: Inisiatif baharu percepat proses pengukuran Tanah NCR

Awang Tengah (dua dari kiri) menyerahkan surat hak milik tanah kepada salah seorang penerima di Tellian. Foto: Ukas

KUCHING, 22 Nov: Kerajaan Negeri menerusi Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Inisiatif Baharu pada tahun 2010 telah mempercepatkan proses pengukuran tanah.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia bagi mempertahankan hak rakyat ke atas tanah NCR yang sahih mengikut perundangan.

Katanya, proses penyukatan adalah bagi memastikan pemilik tanah NCR mempunyai dokumen pemilikan, persempadanan yang jelas dan tidak akan diceroboh.


“Pengeluaran Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 KTN ini memberi banyak manfaat kepada pemilik tanah. Antaranya ialah tempoh pegangannya kekal selama-lamanya.

“Ini bermakna pemilik tanah mempunyai hakmilik kekal ke atas tanah tersebut, tidak dikenakan cukai tanah tahunan, kos pengukuran tanah dan penyediaan surat hakmilik tanah malah turut dikecualikan premium tanah,” katanya.

Beliau berucap demikian semasa Majlis Penyerahan Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 KTN dan Surat Kelulusan Lot Kediaman SPK dalam kawasan DUN Tellian bertempat di Kingwood Resort Mukah semalam.

Tambah Awang Tengah, program Pengukuran Kampung Tradisional masih diteruskan oleh kerajaan kerana ia adalah usaha berterusan untuk memastikan jaminan hak milik ke atas tanah para penduduk kampung.

Katanya, ia bagi kampung-kampung yang telah lama wujud sama ada di kawasan yang telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 KTN (Kampung) mahupun belum diwartakan.

Ujar Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II, bagi Skim Pembesaran Kampung (SPK) kerajaan telah menggunakan spesifikasi terbaru dengan menyediakan infrastruktur seperti rangkaian jalan, sistem perparitan, bekalan air, bekalan elektrik dan telekomunikasi.

“Projek SPK ini lebih tersusun dengan menggunakan pendekatan baharu seperti penambahbaikan infrastruktur asas seperti jaringan jalan raya yang dahulunya hanya jalan batu kini dinaik taraf kepada jalan berturap.

“Semua kos tembok, jalan berturap, parit konkrit akan ditanggung oleh Kerajaan Sarawak lebih kurang RM100,000 hingga RM120,000 per lot,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga telah mengurangkan kadar premium sebanyak 50 peratus bagi lot kediaman di semua SPK dan Skim Penempatan Semula (SPS) dengan tidak melebih RM2,500 untuk satu lot.

Seramai 39 penduduk dari Kampung Penat, Oya dan 20 penduduk dari Ulu Sungai Judan dan Sungai Napeh menerima Surat Hak Milik Tanah dalam program tersebut.

Turut diserahkan Surat Kelulusan SPK kepada 49 penerima untuk SPK Petanak Fasa 1, 49 penerima bagi SPK Judan dan 23 penerima bagi SPK Penat.

Dalam majlis sama, Awang Tengah turut menyerahkan dana Bantuan Graduan Ke Arah Keusahawanan (Gerak) dan Bantuan Program Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV).

Wakil penerima Bantuan Gerak dari Bahagian Mukah, Nur Farah Ain Sarkawi menerima geran berjumlah RM15,000.

Manakala RM20,000 geran USTEV diserahkan kepada wakil penerima dari Bahagian Mukah, Kamarul Zali Saman dari MOQ DO Desa Enterprise.

Awang Tengah kemudiannya menyerahkan geran berjumlah RM5,292,648 kepada wakil penerima Pinjaman Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS), Mohd Haziq Ahmad Mahmud dari Amar Enterprise dan Fatimah Narawi dari Fatma Enterprise.

Hadir sama Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana, Datuk Mohd Naroden Majais. — DayakDaily