Awang Tengah: 58 buah rumah di Lawas akan dibaiki melalui PPRMS tahun ini

Kelihatan Awang Tengah (kiri) pada Program Ceria Kampungku di Perkarangan Surau Kampung Belipat di Jalan Punang.

KUCHING, 25 Jan: Kerajaan pada tahun ini akan membaiki sejumlah 58 buah rumah di kawasan Lawas menerusi Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia dilaksanakan melalui peruntukan sebanyak RM1 juta setiap tahun yang disediakan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Kita akan senaraikan mana-mana mereka yang perlu diberi keutamaan dan program baikpulih rumah ini dikendalikan oleh sebuah jawatankuasa serta melibatkan agensi kerajaan yang berkaitan termasuk Pejabat Daerah Lawas.


“Yang penting kita mahu semua ketua masyarakat memberi maklumat siapa yang perlu diberi keutamaan,” katanya pada Program Walkabout PPRMS dan Projek Jalan Kampung Sungai Bangat di Lawas Sabtu (23 Jan) lepas.

Setakat ini, tambah Awang Tengah, sejumlah 199 buah rumah telah dibaikpulih di seluruh Lawas dengan anggaran kos sebanyak RM2 juta.

Dalam pada itu, beliau yang juga Adun Bukit Sari berkata, Jalan Sungai Bangat sepanjang 2.5km akan dibina semula dengan peruntukan daripada Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA).

Katanya, bayaran pampasan kepada pemilik tanah yang terlibat sudah disediakan tetapi bayarannya sedikit lewat kesan prosedur operasi ‘standard’ (SOP) yang terpaksa dipatuhi.

“Pembinaan ini dijadualkan siap dalam tempoh 18 bulan dan akan memberi kemudahan yang lebih baik kepada penduduk.

“Ini juga akan memberi kelebihan dari segi tarikan pelancongan khususnya di kawasan pantai di sini,” ujar beliau.

Pada hari yang sama, Awang Tengah turut menghadiri Program Ceria Kampungku yang diadakan di Perkarangan Surau Kampung Belipat di Jalan Punang.

Semasa program tersebut beliau mengumumkan peruntukan RM400,000 untuk menaiktaraf surau Kampung Belipat.

“Kita juga telah meluluskan RM250,000 untuk pembinaan dewan namun tapaknya masih belum dikenalpasti.

“Begitu juga dengan pembinaan gelanggang futsal telah diluluskan namun tapaknya juga masih belum ada. Kita akan bincangkan lagi semua perkara ini.

“Selain itu RM100,000 telah diluluskan untuk kerja-kerja pembersihan dan mendalamkan Sungai Kampung Belangsat,” katanya. — DayakDaily