This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 4 Sept: Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian menegaskan autonomi kesihatan perlu segera diberikan kepada Sarawak.
Katanya, ia adalah hasrat kerajaan negeri untuk membantu kerajaan pusat berhubung penjagaan kesihatan.
“Kesihatan awam adalah tanggungjawab kerajaan pusat dan kita hendak ambil, kita mahu bantu mereka.
“Ini disebabkan polisi sedia ada adalah berdasarkan populasi dan tidak sesuai diguna pakai di Sarawak.
“Sarawak kurang populasi dan keadaan geografi sangat luas. Oleh sebab itu ada bandar yang tidak memiliki kemudahan kesihatan mencukupi,” kata Dr Sim.
Beliau berkata demikian pada sidang media selesai Majlis Pelancaran Robotic Surgical Assistant (ROSA) di Hospital Pakar KPJ Kuching hari ini.
Tambah Dr Sim, untuk membantu dalam penjagaan kesihatan, Sarawak memohon agar kerajaan pusat menyediakan peruntukan.
Ujarnya, ia termasuk penyerahan kuasa dalam perancangan, bangunan, kerja-kerja baikpulih, kemudahan hospital serta peralatan.
Tegas Dr Sim, Sarawak juga mahukan kuasa eksekutif terhadap sumber manusia.
“Pernah terjadi dimana Kementerian Kesihatan mahu menghantar 400 pegawai perubatan untuk berkhidmat di Sarawak, tetapi 200 daripada mereka tidak mahu datang ke Sarawak.
“Jika kuasa diberikan kepada kita dengan dengan Sarawak sebagai majikan, jika mereka memohon kemudiannya tidak mahu berkhidmat di sini, untuk apa memohon, tidak masuk bakal,” kata Dr Sim. — DayakDaily