“Atom” muncul juara pertandingan sains Perkhemahan Ilmu

Kumpulan Atom menerima hadiah hamper barangan tulis dari Arpah (berdiri tengah) selepas diumumkan sebagai johan pertandingan sains pada Perkhemahan Ilmu anjuran Pustaka Negeri Sarawak.
Advertisement

KUCHING, Sept 23: Kumpulan “Atom” dianggotai 10 orang murid berusia 10 hingga 11 tahun dari sekolah rendah sekitar bandaraya ini diumumkan sebagai johan pertandingan sains dalam Perkhemahan Ilmu di Pustaka Negeri Sarawak (PNS), Petra Jaya, di sini, hari ini.

Kumpulan terbabit mendapat keseluruhannya sebanyak 450 markah mengalahkan lima kumpulan lain yang menyertai perkhemahan selama dua hari itu.

Mereka menerima hadiah hamper barangan tulis bernilai RM300 disampaikan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi), Pustaka Negeri Sarawak, Arpah Adenan pada majlis penutupan perkhemahan tersebut.

Advertisement

Tempat kedua dimenangi kumpulan “Bernoulli” yang mendapat 445 markah dan menerima hamper barangan tulis bernilai RM200 dan tempat ketiga di menenangi kumpulan “Fahrenheit” yang mendapat 405 markah dan menerima hamper barangan tulis bernilai RM150.

Murid-murid sekolah dari sekitar bandaraya Kuching dan mentor mereka yang menghadiri majlis penutupan Perkhemahan Ilmu di Pustaka Negeri Sarawak (PNS), Petra Jaya, Kuching.

Anugerah Saintis Terbaik Lelaki perkhemahan itu dimenangi Mohammad Akhtar Danish Hashim dan Saintis Terbaik Wanita dimenangi Jazlyn Jong Yian Xze dengan mereka menerima hadiah berupa plak, baju kot makmal dan sebuah mikroskop.

Anugerah mentor terbaik perkhemahan terbabit dimenangi Azlina Abdul Aziz dari kumpulan “Electron” dan Charlene Bernadette dari kumpulan “Atom” yang masing-masing menerima wang tunai RM100.

Ketua Sektor Perkhidmatan Perpustakaan Bahagian Perkhidmatan Dengan Komuniti PNS, Razak Rambili berkata keseluruhannya seramai 60 kanak-kanak berusia 10 hingga 11 tahun dari sekolah rendah sekitar bandaraya ini menyertai perkhemahan terbabit yang menekankan aktviti pembelajaran sains.

“Mereka dibahagikan kepada enam kumpulan dan berkhemah di PNS selama dua hari bagi mempelajari bidang sains dan menyertai pertandingan sains termasuk membuat roket air, jambatan dari kayu ais krim dan kapal kipas,” katanya dengan peserta perkhemahan juga dibimbing seramai 10 orang mentor dewasa dari Sedidik dan PNS.

Beliau berkata selepas ini, PNS akan sekali lagi mengadakan acara berkaitan sains iaitu Makersmeet bagi mengumpulkan golongan pereka cipta dan yang terbabit dalam bidang pembuatan barangan inovasi dan teknologi, pereka 3D printer dan pereka robotik yang dijangkakan diadakan Okt 20 hingga 21 depan. — DayakDaily

Advertisement