ATM bantu bina pusat pengasingan pesakit Covid-19 tahap satu

Anggota ATM membantu dalam menyediakan pusat pengasingan pesakit Covid-19 tahap satu di StadiumTertutup Kanowit.

SIBU, 23 Jan: Stadium Tertutup Kanowit akan dijadikan salah satu pusat pengasingan bagi pesakit Covid-19 yang berada pada tahap satu.

Sel Perhubungan Raya Markas Satu Divisyen Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dalam satu kenyataan, berkata Briged Kesembilan Infantri ATM, Batalion ke-3 Rejimen Renjer Diraja (3 RRD) telah di atur gerk bagi membantu dalam menyediakan tempat pengasingan tersebut.

“Pasukan yang diatur gerak ini dibantu oleh kenderaan dari Batalion ke-9 Kor Perkhidmatan Diraja dan Batalion ke-9 Kor Ordnans Diraja yang turut terlibat dalam membantu penyediaan tempat tersebut,” katanya.


Ujar kenyataan itu, tempat tersebut akan dilengkapi dengan 30 buah katil bertingkat (double decker) yang disumbangkan oleh badan korporat iaitu syarikat Tegas Kesuma Sdn. Bhd.

Anggota ATM mengangkat peralatan katil dan tilam bagi membantu menyediakan pusat pengasingan pesakit Covid-19 tahap satu di Stadium Tertutup Kanowit.

Sementara itu, pihak kem Junaco Park turut menyumbangkan sebanyak 60 tilam sarung bantal, cadar dan bantal bagi kegunaan persakit yang akan ditempatkan di pusat tersebut kelak.

“Pusat ini bukannya disediakan sebagai hospital medan seperti yang dilakukan di Sabah kerana tiada penglibatan daripada anggota daripada Kor Kesihatan Diraja (KKD) ATM.

“Pusat yang disediakan ini lebih berfungsi sebagai pusat pengasingan atau kuarantin bagi pesakit Covid-19 tahap satu sahaja,” kata kenyataan itu

Tambah kenyataan itu, di samping melaksanakan tugas utama dalam menjaga kedaulatan negara daripada pencerobohan anasir luar, ATM juga sentiasa bersedia membantu pihak berkuasa dan agensi awam lain dalam menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang terkesan akibat wabak Covid-19. — DayakDaily