Mercy Malaysia bina Hospital Medan Miri, tampung pesakit Covid-19

Lee (empat dari kiri) pada tinjauan di tapak Hospital Medan Miri.

KUCHING, 5 Okt: Mercy Malaysia kini sedang membina sebuah Hospital Medan Miri di perkarangan Hospital Miri sejak 2 Oktober lepas.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin berkata, ia dibuat selepas dipersetujui Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

“Keperluan pembinaan Hospital Medan Miri telah dipersetujui JKNS dan perkara ini telah saya ajukan kepada JPBN Sarawak ketika mesyuarat lepas. Mercy Malaysia membantu mewujudkan Hospital Medan ini.


“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak JKNS dan Mercy Malaysia kerana membantu menyediakan pembinaan Hospital Medan di sini,” katanya dalam kenyataan media selepas melakukan tinjauan persiapan Hospital Medan yang terletak di Hospital Miri hari ini.

Hospital Medan Miri berkeluasan 525 meter2 (35m x 15m) yang terletak di ruang parkir Hospital Miri itu mampu menampung 66 pesakit Covid-19 iaitu 33 orang lelaki dan 33 orang wanita.

Sementara itu, Pengarah Hospital Miri Dr Jack Wong berkata, Hospital Medan ini adalah dikhususkan kepada pesakit Covid-19 kategori 3 dan kategori 4 sahaja.

“Projek pembinaan Hospital Medan ini dijangka akan siap dalam tempoh masa seminggu dan akan diserahkan Mercy Malaysia Sarawak Chapter kepada Hospital Miri dalam minggu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Mercy Malaysia Sarawak Chapter Martin Jandom memberitahu penubuhan Hospital Medan ini diselaraskan Mercy Malaysia Sarawak Chapter.

Katanya, ini bertujuan membantu Hospital Miri bagi mengurangkan kesesakan wad pesakit Covid-19 selain menampung keperluan Hospital Miri untuk menguruskan peningkatan bilangan pesakit Covid-19.

“Bagi Mercy Malaysia, kita membuat hospital ini kerana permintaan daripada JKNS dan Hospital Miri. Ianya memang diperlukan memandangkan Hospital Miri telah penuh dengan pesakit-pesakit.

“Anda boleh lihat kemudahan sementara yang ada di Hospital Miri untuk keperluan pesakit.

“Atas sebab itu, Mercy mendirikan Hospital Medan Miri untuk menampung keperluan pesakit Covid-19 di sini,” katanya. — DayakDaily