Atlet para negara, Bonnie Bunyau, akan mendapat ganjaran insentif

Abdul Karim (dua kanan) pada sidang media.
Advertisement

KUCHING, 18 Julai: Kerajaan Sarawak akan memberi ganjaran insentif kepada atlet para negara, Bonnie Bunyau Gustin, 19, yang meraih dua pingat emas di Kejohanan Dunia Para Powerlifting di Kazakhstan.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata kerajaan negeri ada skala pemberian ganjaran kepada atlet dari Sarawak yang menang emas di Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan Asia Tenggara (SEA) atau kejohanan peringkat antarabangsa lain.

“Beliau baru menang semalam (Selasa, 16 Julai), jadi kita belum berbincang lagi, tetapi pasti akan ada sejumlah insentif akan diberikan kepada mereka yang mengharumkan nama negara dan juga nama Sarawak,” katanya ketika mengadakan ketika mengadakan sidang media mengenai acara Best Of Asean Designers 2019 di Bangunan Baitulmakmur, di sini, semalam.

Advertisement

Abdul Karim berkata kejayaan atlet para terbabit menjadi kebanggaan kepada Sarawak, terutama sekali mereka yang kurang upaya dan ini menunjukkan golongan terbabit juga boleh berjaya dalam bidang diminati sekiranya tekun dan bersemangat tinggi.

Pemegang rekod dunia remaja itu melakukan angkatan 207 kilogram (kg) untuk muncul juara dalam kategori senior 65kg lelaki pada kejohanan terbabit di Astana Congress Center.

Sabtu lalu, atlet kelahiran Sarawak itu juga meraih pingat emas selepas melakukan angkatan 190kg dalam acara bawah 65kg lelaki dan memperoleh tiket ke temasya Paralimpik 2020 di Tokyo atas kejayaan itu.

Selain itu, Abdul Karim mengumumkan kementeriannya akan memberikan sejumlah sumbangan bagi meringankan beban keluarga mendiang Roviezal Robin, 20, yang ditemui meninggal dunia setelah dibawa arus deras di Sungai Gua Rusa, Taman Negara Mulu, baru-baru ini.

Katanya, ini kerana mendiang yang sudah beristeri dan dua orang anak telah berjaya menyelamatkan seramai lapan dari sembilan orang pelancong yang dibawanya ke gua itu. — DayakDaily

Advertisement