Asrama SK Orang Kaya Muda Pakeri Paloh terbakar

Semua pihak berganding bahu memadam kebakaran tersebut.

SARIKEI, 19 Mei: Sekurang-kurangnya 35 orang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Orang Kaya Muda Pakeri Paloh, di sini, berdepan detik mencemaskan apabila asrama didiami mereka terbakar pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kejadian dilaporkan berlaku 7.05 pagi dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Manis dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Kawalan Tanjung Manis terima panggilan terus ke balai maklum berlaku kebakaran melibatkan asrama Sekolah.


“Anggota Tanjung Manis dilaporkan telah bergerak ke lokasi kejadian dan lokasi kejadian melibatkan penggunaan bot untuk mengangkut kelengkapan menentang kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Difahamkan tiada pelajar di asrama tersebut semasa kejadian kerana semua telah masuk ke kelas masing-masing.

Api berjaya dikawal hasil bantuan orang kampung yang menggunakan sumber air berhampiran.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily