KUCHING, 16 Mei: Pembatalan jemputan membuat persembahan pentas sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) telah menyebabkan artis popular Dayak di negeri ini menggantikan sumber pendapatan mereka dengan menjalankan perniagaan sampingan seperti menjual jagung.
Artis Rannee Patricia Lintan, 36, atau lebih dikenali sebagai “Rannee Pat” memilih untuk menjual jagung manis dan jagung pandan melalui laman sosial bagi menggantikan sumber pendapatannya dari pertunjukkan pentasnya yang terpaksa dibatalkan.
“Ini semata-mata bagi menambah pendapatan berikutan sejak PKP lepas dan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKPB) ini sebanyak enam jemputan pertunjukkan pentas saya terpaksa dibatalkan penganjur. Saya juga sebelum ini ada mengajar kelas senaman zumba kepada penduduk Lundu tetapi aktiviti itu juga terpaksa dihentikan atas sebab sama,” katanya kepada DayakDaily, hari ini.
Rannee berkata bekalan jagungnya diperolehi dari kebun jagung diusahakan keluarganya yang seluas tiga ekar di Sedaing, Lundu dan setakat ini beliau sudah mampu menjual sekitar 800 tongkol jagung.
“Jagung manis dan jagung pandan itu dijual melalui media sosial pada harga RM10 seikat iaitu yang ada lapan atau sembilan tongkol mengikut saiz dan ketika ini tinggal sekitar 50 ikat atau 400 tongkol lagi yang masih belum dijual,” katanya.
Selain jagung, beliau yang sudah lapan tahun berkecimpung dalam industri muzik Dayak juga turut mula menjual pelbagai jenis kek dan makanan Dayak lain seperti kasam dan ensabi melalui media sosial bagi menambah pendapatan ketika PKPB ini.
Di samping itu, Rannee juga menjangkakan tidak akan ada mengeluarkan album lagu Gawai bagi tahun ini dan kemungkinan hanya satu album kompilasi sahaja bersama kalangan artis Dayak lain.—DayakDaily