KUCHING, 4 Jan: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak mahukan jawatan menteri pendidikan diberikan semula kepada parti tersebut.
Ini berikutan pengumuman perletakan jawatan Dr Maszlee Malik, yang merupakan ahli Bersatu, sebagai menteri pendidikan berkuatkuasa semalam.
Armada Bersatu Sarawak, menerusi kenyataan media, turut mahukan isu tersebut tidak harus ditimbulkan sama sekali.
“Walaupun demikian, adalah kuasa prerogatif Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melantik mana-mana individu yang dianggap sesuai untuk menganggotai Kabinet.
“Armada (Bersatu) Sarawak juga menyokong sepenuhnya keputusan yang akan diambil oleh perdana menteri,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan yang sama, Armada Bersatu Sarawak berharap menteri pendidikan yang akan dilantik kelak terus memperjuangkan agenda pendidikan untuk semua.
Menteri berkenaan harus menggalas tanggungjawab sebaik mungkin serta memberi perhatian yang sewajarnya kepada isu pendidikan di Sarawak khususnya, katanya
Di samping itu, Armada Sarawak juga berpendapat dengan adanya kekosongan kerusi dalam kabinet sekarang, ia akan memberi ruang untuk perdana menteri mengstruktur semula anggota Kabinet yang sedia ada.
Armada tersebut turut menyanjung khidmat Maszlee selama 20 bulan, yang antara lain, telah memberi perhatian kepada pembinaan sekolah daif di negeri Sarawak.
Maszlee pada Khamis lepas mengumumkan perletakan jawatan yang berkuatkuasa 3 Januari, 2020, setelah 20 bulan mengemudi Kementerian Pendidikan. — DayakDaily