Api tak pilih mangsa, fahami ilmu keselamatan kebakaran

Khirudin (lima kanan) menyampaikan alat pemadam api sumbangan SEB kepada salah seorang wakil sekolah.

KUCHING, 21 Okt: Setiap individu digesa untuk mempelajari ilmu keselamatan kebakaran, tegas Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Negeri Sarawak Datu Khirudin Drahman.

Katanya, api (kebakaran) tidak memilih mangsa dan apabila ia berlaku individu tidak seharusnya menyalahkan sesiapa.

“Kita lihat bila berlaku kes kebakaran, masyarakat mula menoleh kiri ke kanan dan menyalahkan kerajaan, menyalahkan Bomba dan sesiapa sahaja yang boleh disalahkan.


“Kesilapan dan kesalahan sebenarnya bergantung pada diri kita sendiri iaitu kefahaman kita tentang keselamatan kebakaran,” kata Khirudin.

Beliau berkata demikian di Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Sarawak Energy Berhad (SEB) dengan kerjasama JPBM Sarawak di sini, hari ini.

Tambah Khirudin, paling penting dan asas ialah setiap premis harus memiliki alat pemadam api.

Menurut beliau, memiliki alat pemadam api di premis merupakan satu kesedaran betapa pentingnya keselamatan kebakaran.

“Sebagai contoh di dalam dewan ini berapa ramai yang memiliki alat pemadam api di rumah.

“Berapa orang ada televisyen, astro semua ada, inilah kesedaran kita tentang keselamatan kebakaran,” ujar beliau.

Program CSR yang diadakan hari ini juga memberi pendedahan berhubung keselamatan kebakaran kepada murid-murid daripada lima buah sekolah.

Sekolah yang terlibat ialah SK Tabuan, SK Tabuan Hilir, SK Batu Lintang, SJKC St Paul dan SK Catholic English. ā€” DayakDaily