Anwar hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup

Dato Seri Anwar Ibrahim
Advertisement

KUCHING, 13 Dis: Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol) di Kuala Lumpur hari ini telah membentangkan tiga kertas yang mengupas isu, tantangan dan strategi.

Menurut Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim, ia melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dan Kementerian Perladangan dan Komoditi.

“Laporan-laporan itu adalah bertujuan untuk mendapatkan pandangan awal daripada pemegang taruh berkaitan terutamanya pemain industri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili hak pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.

Advertisement

Tambah Anwar, kerajaan konsisten dalam membangun serta mendukung pembangunan industri yang mampan.

Sektor penternakan negara, katanya, telah lama mencapai tahap yang mampan untuk memenuhi permintaan tempatan dan berupaya untuk mengeksport.

“Kerajaan berhasrat untuk memudahkan industri ini untuk mengeksport ke luar produk mereka serta memastikan sektor penternakan menghasilkan bekalan yang cukup untuk keperluan rakyat.

“Ini termasuk menjamin bantuan yang lebih besar dan bersasar, terutamanya kepada pengusaha tempatan,” ujar beliau.

Pada saat ini, ujar Anwar, isu bekalan menjadi tumpuan utama kerajaan kerana kekurangan bekalan akan memberi dampak yang buruk.

Justeru katanya, kerajaan akan mempertimbangkan untuk meneliti kaedah campur tangan kerajaan di peringkat pengguna.

“Mesyuarat Naccol telah membincangkan perkara ini dengan panjang lebar dan beberapa ikhtiar telah disyorkan.

“Perkara ini akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan Kabinet akan membuat keputusan esok,” kata Anwar. — DayakDaily

Advertisement