CIDB lonjak industri pembinaan negara ke peringkat antarabangsa

Nanta pada lawatan ke CIDB Sarawak di Petra Jaya hari ini.

KUCHING, 13 Dis: Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi yakin Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mampu melonjakkan kemampanan industri pembinaan negara ke peringkat antarabangsa.

Katanya, ini berbekalkan tenaga mahir yang tinggi, teknologi pembinaan yang canggih, kemudahan serta program yang mantap.

Nanta pada hari ini mengadakan lawatan kerja ke CIDB Sarawak di Petra Jaya.


Selepas sesi taklimat, beliau kagum dengan pencapaian sedia ada CIDB setelah menyaksikan sendiri kecanggihan peralatan dan teknologi yang digunakan seperti percetakan 3 Dimensi (3D Printing) dan Building Information Modelling (BIM).

“Ia sememangnya mampu memberi nilai tambah yang berkualiti kepada industri pembinaan negara secara menyeluruh,” kata Nanta sebagai Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Menurut beliau lagi, walaupun industri ini hanya menyumbang sebanyak 4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tetapi impaknya menjangkau 2.03 kali ganda dalam hasil outputnya kepada industri lain.

Justeru ujar Nanta, industri ini memainkan peranan penting dalam semua sektor perindustrian utama negara dalam bentuk penyediaan modal, perkhidmatan, kediaman dan lain-lain. — DayakDaily